Masukkan Email anda untuk dapatkan artikel yang terbaru. Ianya Percuma:
Delivered by FeedBurner
Oleh WAN ZULKIFLI WAN YAACOB (WARTAWAN UTUSAN)[preview]http://rileks.info/foto/myPh3.photo/165–12008-re_02_big.jpg[/preview]Senario politik di Kelantan menarik perhatian para pemerhati politik yang sukar meramalkan parti mana bakal menguasai negeri itu pada pilihan raya tidak lama lagi. – Gambar hiasan.
TIDAK mudah bagi sesiapa pun meramalkan corak politik di Kelantan – sama ada Pas akan kembali berkuasa atau UMNO akan menjadikan Tahun Melawat Kelantan 2008 sebagai Tahun Merawat Kelantan.
Setelah beberapa tekaan terdahulu oleh pembangkang berhubung tarikh pilihan raya umum berlalu begitu sahaja, namun perkembangan baru sejak kebelakangan ini seakan memperlihatkan ia sudah cukup hampir.
Pas dan UMNO dikatakan sudah bersedia untuk membuat perhitungan dengan rakyat sekali lagi, cuma kedua-duanya masih berdepan dengan masalah terakhir iaitu soal calon.
Mereka bagaikan tidak perlu lagi meneka tarikh yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam memilih masa sesuai dengan mengambil situasi semasa.
Ada kalangan pemerhati berpendapat, selain isu-isu di peringkat nasional dapat diredakan dan mengambil kira mood rakyat dengan feel good factor, tarikh yang dipilih akan turut mengambil kira senario politik Kelantan.
Ketika Abdullah mengambil alih tampuk pemerintahan, ia dimulakan dengan keupayaan Barisan Nasional (BN) menguasai semula Terengganu, memalukan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang apabila kepimpinan ditolak rakyat dalam tempoh yang begitu singkat.
Justeru memasuki penggal kedua pemerintahannya, apakah hadiah yang besar buatnya selain mengembalikan Kelantan yang sudah tiga penggal di dalam genggaman Pas melalui pendekatan lunak tanpa tidak mengabai rakyat dan negeri.
Di sinilah, di negeri ini yang rakyatnya mengunakan ‘sifir politik’ tersendiri, dikatakan medan tempur sebenar dalam menguji kekuatan pengaruh dua parti politik Melayu yang sukar mencari titik pertemuan.
Namun dalam pilihan raya umum lalu, ia ternyata mengejutkan pimpinan Pas negeri ini apabila kuasa itu hampir terlucut, dibezakan dengan dua kerusi dan majoriti kemenangan di beberapa kawasan amat kecil.
Malah ia mengejutkan UMNO Kelantan sendiri yang membiarkan pergolakan dalaman berlaku menjelang pilihan raya yang sebenarnya dilihat sebagai salah satu faktor yang menyelamatkan Pas ketika dalam keadaan lemah.
Keputusan itu juga memperlihatkan pengaruh Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang membawa lambang Pas semakin pudar selepas tiga penggal dan seolah memberi isyarat perlunya dilakukan perubahan untuk menyambung talian hayatnya.
Namun Menteri Besar itu yang kerap uzur tentunya terpaksa terus bertanding sekali lagi bagi mengelak keretakan ketika berhadapan dengan keadaan yang getir kini dan soal siapa penggantinya masih dipendamkan.
Pergeseran politik
Ada yang berpendapat, gaya hidup kalangan pemimpin Pas semakin sukar dibezakan dengan UMNO yang dijaja, pergeseran politik dalamannya semakin mencambah, cuma tidak didedah merata tetapi mula melimpah juga.
Pendekatan Islamnya dengan larangan, simbol, pintu gerbang dan konsep turun padang hanya dengan ceramah dan rapat umum tanpa isu baru yang menarik, semakin menjauhkan dengan rakyat.
Justeru itu, Pas cuba membawa imej yang lebih progresif dan cakna rakyat termasuk beberapa projek baru yang dicanangkan iaitu Koridor Depu melalui agihan anak semaian dan ternakan kambing Jamnapari di setiap Dewan Undangan Negeri di samping wakil-wakil rakyatnya diingatkan tidak lagi ke depan sekadar semasa solat.
Beberapa skim juga diwujudkan untuk membantu golongan sasar – warga emas, ibu tunggal dan golongan orang kurang upaya yang memerlukan bantuan di samping membuka pintu kepada hiburan, sukan dan rekreasi untuk memikat kalangan muda.
Dengan apa yang telah dimulakan sebahagian besar strateginya dikatakan atas pertimbangan Datuk Husam Musa, ia seakan memberi nafas baru bagi Pas untuk mempertahankan benteng terakhirnya.
Naib Presiden Pas itu yang dianggap oleh pemerhati politik sebagai pengemudi pemerintahan di Kelantan menyatakan keyakinan bahawa Pas akan memperoleh kedudukan lebih baik dalam pilihan raya umum akan datang.
Beliau turut merujuk kepada teori pendulum yang akan berulang dengan jangkaan UMNO dan Barisan Nasional akan kehilangan banyak kerusi setelah ia mencapai kemenangan besar dan berada dalam keadaan selesa.
UMNO juga boleh bersandarkan tempoh 18 tahun pemerintahan kali ini akan berakhir sebagaimana ia terlepas kuasanya pada tahun 1978 kepada UMNO selepas mencapai tempoh itu.
Selepas universiti untuk Kelantan menjadi kenyataan dan pelbagai pelaksanaan digerakkan bawah program Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), UMNO dan BN antara lain menjanjikan usaha menjadikan negeri ini sebagai pusat ketamadunan Islam yang baru.
Tentunya Kelantan tidak boleh dijadikan negeri sekadar untuk istirahat fakir dan miskin seperti yang turut diperjuangkan oleh Dewan Pemuda Pas kerana ia menggambarkan sebagai negeri yang bersarang dengan kemiskinan.
Ia tidak membawa lambang yang baik untuk negeri yang dikatakan membangun bersama Islam dan jika serangan peribadi dilakukan, pemimpin-pemimpin Pas tidak terkecuali dengan cerita-cerita menarik mengenai mereka.
Apakah isu yang dapat Pas yakinkan rakyat kali ini? Jika soal bayaran tambahan di sekolah terus dibangkitkan, tentunya ia harus melihat pula betapa banyak belanja ibu bapa bagi sekolah-sekolah kendaliannya dan betapa banyaknya bantuan disalurkan kepada para pelajar miskin oleh kementerian.
Takkan bayaran untuk membeli buku tulis sendiri dan untuk kegiatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru-Guru (PIBG) yang diputuskan oleh ibu bapa bagi masa depan anak-anak mereka cuba dijadikan isu besar.
Jika soal menurunkan harga minyak, apa yang boleh dilakukan di Kelantan ketika ia tidak berkuasa menghalang kenaikan bayaran letak kereta dan jika ingin menjadikan negeri kebajikan, mengapa tunggakan bayaran air yang keluarnya tidak menentu terus dipungut.
Bagi UMNO juga, jika video Ahli Dewan Undangan Negeri Paloh, Datuk Nozula Mat Diah yang berang semasa sidang dewan lalu terus dipaparkan, ia cuma menggambarkan betapa kecewanya beliau yang dihalang dan dipersendakan ketika membawa isu rakyat setempat dan keengganan kerajaan negeri menjelaskan beberapa projek besar yang gagal.
Isu-isu besar nasional seolah-olah tidak banyak mempengaruhi sikap rakyat dan kesediaan lebih ramai penyokong Pas untuk bersama dalam program-program anjuran BN serta pendekatan senyap UMNO menghadapi Pas di negeri ini menimbulkan teka-teki termasuk bagi Pas sendiri.
CAPTCHA + 8 = 14